PAPAR: Lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Batu Bandung Daingin, Kimanis, di sini, Rabu lalu, ditemui lemas, hari ini.
Mayat mangsa Jebenoh Antonny, 31, ditemukan terapung di sungai berkenaan oleh pasukan penyelamat, jam 12.21 tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa itu ditemui 500 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ke-3 hari ini dimulakan pada 9 pagi di persisiran sungai bersama pasukan penyelamat lain dengan menggunakan bot.
“Pada 12.21 tengah hari, mangsa berjaya ditemui oleh pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jarak 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.30 tengah hari,” katanya.
Operasi SAR hari ke-3 membabitkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis (Unit-K9), Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM dan Pasukan Bomba Sukarela.
Terdahulu, mangsa Jebenoh dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam sungai berkenaan ketika ingin mencuri kakinya. – Info X