Search

Sukan karate semai kemahiran berfikir aras tinggi – Jahid

July 1, 2023

Info X Reporters

TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sukan karate mampu menyemai budaya masyarakat Jepun seperti kemahiran berfikir aras tinggi.

Katanya, pada tahun 1982, Perdana Menteri ketika itu telah melancarkan ‘Dasar Pandang ke Timur’ yang bermaksud pihak Kerajaan Malaysia dan Swasta menjadikan negara Jepun serta Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja.

“Begitu juga dengan sukan karate, kita dapat menyemai budaya masyakat Jepun dari segi pendidikan, disiplin, ketepatan masa dan semangat juang yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sabah Shitoryu Karate-Do Interdojo Kali Ke-8, di Dewan Tun Hamdan, sini hari ini.

Jahid menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan sambil disaksikan Gesiri (kanan).

Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pengasas merangkap Penasihat Kehormat Sabah ShitoRyu KarateDo Association, Shihan Thomas Chong, Pengasas Sabah ShitoRyu KarateDo Association merangkap Ketua Pengadil Kejohanan Interdojo Sabah ShitoRyu Kali Ke-8, Renshi John Jikum, Timbalan Presiden Sabah ShitoRyu KarateDo Association, Sensei Primus Suning, dan Pengerusi Kelab Karate Guakon merangkap Pengerusi Penganjur Kejohanan Interdojo Sabah ShitoRyu Kali Ke-8, Hendry Lingguan.

Katanya, dalam membangunkan sesebuah persatuan, misi dan visi kepimpinan yang diterjemahkan dalam pelan strategik amat penting bagi menentukan hala tuju ke hadapan sesebuah persatuan.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, mengakui tertarik dengan 5 Pelan Strategik ShitoRyu Sabah yang telah disampaikan oleh Presiden mereka, Gesiri Gambung.

“Saya sangat menyanjung tinggi misi persatuan untuk mempunyai bangunan pusat latihan sendiri ataupun Sabah ShitoRyu Training Centre pada tahun 2036 nanti.

“Semoga impian ini dipermudahkan dan insyaallah dengan usaha terbaik daripada anda semua, pastinya akan menjadi kenyataan pada tahun 2036 nanti,” katanya.

Menurutnya, sukan karate merupakan antara sukan yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat.

“Selain membina minda yang cerdas dan disiplin diri yang tinggi, dengan menyertai sukan karate, adik-adik semua dapat mengisi masa dengan aktiviti yang berfaedah daripada membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat,” kata Jahid.

Selain itu, katanya, para peserta juga dapat berkenalan dengan kawan-kawan, dan mendapat pengalaman baharu melalui kejohanan tersebut.

“Pastinya kamu akan lebih bersemangat untuk terus berlatih sehingga mencapai tahap yang lebih tinggi seterusnya mengharumkan nama persatuan yang anda wakili.

“Tidak mustahil, suatu hari nanti ada di antara adik-adik yang ada di sini akan mewakili negara kita di peringkat antarabangsa kelak,” tambahnya.

Katanya, intipati pertandingan Karate-Do tersebut adalah berbentuk muhibbah, justeru masa tersebut juga mampu menyemai, mempromosi dan mengembangkan perpaduan yang lebih erat, persahabatan, persaudaraan dalam kalangan semua ahli, peserta dan para ibu bapa yang hadir.

Pada majlis tersebut, Jahid turut meluluskan permohonan sumbangan pembelian Tatami dan peralatan kejohanan sejumlah RM18,000 kepada Sabah Shitoryu Karate-Do Association.

“Semoga sumbangan ini akan dapat membantu ShitoRyu Sabah agar terus berkembang dalam menganjurkan kejohanan-kejohanan skala besar nanti,” katanya.

Untuk rekod, selain wakil dari Tamparuli, kejohanan pada kali ini turut dihadiri peserta dari Miri, Sarawak, Nunuk Ragang Ranau, daerah Ranau, Kota Kinabalu, Politeknik dan Putatan. – Info X