LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 10 Jalan Lahad Datu – Sandakan, di sini, hari ini.
Kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu membabitkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, lori jenis Hino Yamaha dan lori tangki.
Pemandu Toyota Hilux, lelaki berusia 36 tahun warga asing meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu lori terbabit hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux dan lori Hino Yamaha datang dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan manakala lori tangki dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Hilux disyaki cuba memotong kenderaan di hadapan tetapi gagal masuk semula ke laluannya dan bertembung dengan lori tangki.
“Impak kejadian itu menyebabkan pemandu Toyota Hilux meninggal dunia di tempat kejadian. Kedua-dua pemandu lori hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati punca kemalangan itu dipercayai daripada kecuaian pemandu Toyota Hilux yang cuba memotong kenderaan di hadapan dan gagal masuk semula ke laluannya lalu bertembung dengan lori tangki.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Dr Rohan Shah meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.
“Pengguna jalan raya khususnya di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya sedia ada serta sentiasa mengamalkan sikap sabar dan berhati-hati ketika memandu.
“Ini kerana ‘malang tidak berbau’ supaya tidak membahayakan nyawa kepada pengguna-pengguna jalan raya,” katanya. – Info X