Search

3 wanita antara 12 ditahan terbabit sabung ayam

July 3, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Sekumpulan individu yang sedang leka berjudi sabung ayam di kawasan ladang kelapa sawit di Kalumpang, di sini, bertempiran lari selepas lokasi berkenaan diserbu polis, Sabtu lalu.

Bagaimanapun 12 daripada mereka termasuk tiga wanita ditahan dalam serbuan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 5 petang.

Kawasan ladang kelapa sawit yang dijadikan lokasi sabung ayam di Kalumpang, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu adalah hasil daripada risikan dan maklumat awam mengenai kegiatan berkenaan.

“Hasil serbuan itu berjaya menahan empat lelaki tempatan dan lapan warga asing termasuk tiga wanita berusia 17 hingga 71 tahun.

“Polis turut merampas tujuh ekor ayam sabung, peralatan judi dan wang tunai sebanyak RM1,210,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Antara individu yang ditahan kerana sabung ayam di kawasan ladang kelapa sawit Kalumpang, Tawau.

Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati lokasi berkenaan dipercayai sering dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian dan aktiviti sabung ayam.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X