Search

Haris tekad jadikan IPD Kudat terus relevan

July 5, 2023

Junaidi Ladjana

KUDAT: Ketua Polis Daerah Kudat baharu, Superintendan Mohd Haris Ibrahim nekad menjadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat sebagai sebuah organisasi yang relevan dan sentiasa dirasai oleh masyarakat setempat di daerah ini.

Menurutnya, dalam memastikan tujuan itu tercapai, kerjasama utuh dalam kalangan warga IPD Kudat sangat diperlukan agar tanggungjawab serta tugas dapat dijalankan sebaiknya.

Katanya, visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat direalisasi seterusnya memastikan IPD Kudat dipacu ke tahap terbaik.

“Syukur dan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM dengan kepercayaan dan peluang kenaikan pangkat ini seterusnya menukarkan saya menjawat Ketua Polis Daerah Kudat.

“InshaAllah kepercayaan ini tidak akan disia-siakan dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk IPD Kudat Khusunya dan PDRM amnya.

“Saya juga berbesar hati memohon tunjuk ajar, nasihat, bimbingan serta teguran daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun sepanjang melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kudat agar penugasan terlaksana dengan jayanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kudat di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kudat Deputi Superintendan Robin @ Ridzuan Ismail menyerahkan jawatan terbabit kepada Haris disaksikan Jauteh.

Pada majlis sama, Jauteh turut melaksanakan pemakaian kenaikan pangkat Superintendan kepada Haris yang sebelum ini memakai pangkat Deputi Superintendan.

Haris sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Penampang selama lima tahun enam bulan sejak 2018 manakala Robin akan bertukar ke IPD Labuan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan bermula 10 Julai. – Info X