Search

Lima pengedar dadah ditahan, rampasan bernilai RM1.2 juta

July 7, 2023

Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Polis Sabah berjaya mematahkan empat kegiatan pengedaran dadah membabitkan nilai RM1.2 juta selepas berjaya menahan lima individu termasuk seorang remaja dalam tempoh empat hari pertama bulan ini.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah itu, merampas sebanyak 14 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM840,000.

Selain itu, polis turut berjaya menyita 11 kenderaan mewah, barangan kemas dan wang tunai daripada keempat-empat tangkapan.

Jauteh menunjukkan dadah syabu dan wang tunai yang dirampas selepas berjaya menahan lima pengedar dadah di lima daerah di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, lima suspek berusia lingkungan 17 hingga 40-an itu ditahan di daerah Tawau, Lahad Datu, Semporna, Inanam dan Tuaran.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada jam 11.45 pagi Isnin lalu di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu.

Jauteh ketika sidang media susulan tangkapan dan rampasan membabitkan pengedaran dadah di Sabah.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dilihat sedang meletakkan sebuah kotak ke dalam bonet kereta.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas 10 bungkusan berisi disyaki syabu dengan berat kasar 10.05 kilogram bernilai kira-kira RM600,000,” katanya dalam sidang media yang diadakan di IPK Sabah, hari ini.

Wang tunai dan barang kemas yang dirampas susulan kejayaan menumpaskan pengedaran dadah di Sabah.

Jauteh berkata, operasi diteruskan dengan penahanan empat lagi lelaki bersama empat kilogram dadah.

Katanya, seorang lelaki tempatan dan warga asing ditahan bersama 2.03 kilogram syabu bernilai RM120,000, Isnin lalu di Semporna.

“Sementara itu pada keesokan harinya, seorang remaja lelaki warga asing ditahan di Inanam selepas didapati memiliki 1.07 kilogram dadah.

Sebanyak 14 kilogram dadah jenis syabu yang dirampas dalam beberapa siri serbuan di beberapa daerah di Sabah.

“Operasi diteruskan dengan menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 33 tahun yang turut didapati membawa 1.05 kilogram syabu,” katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata, rampasan ini turut membabitkan wang tunai sebanyak RM164,000, barang kemas RM172,000, barangan ekslusif seperti beg dan jam tangan bernilai RM90,000.

Manakala katanya, 11 kenderaan yang dipercayai hasil daripada aktiviti itu pula dianggarkan bernilai RM790,000 dan menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1.2 juta.

Jauteh memeriksa barang rampasan dadah syabu dan wang tunai selepas berjaya menahan lima pengedar dadah di lima daerah di Sabah.

“Semua syabu yang berjaya dirampas itu boleh digunakan sehingga 50,000 penagih dadah dan ini merupakan rampasan terbesar untuk suku tahun ini bagi IPK Sabah.

“Siasatan mendapati, kegiatan ini dipercayai mulai aktif pada awal tahun ini dan syabu yang diedar untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X