Search

Sabah FC bernasib baik, kata jurulatih Kuching City FC

July 9, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penolong Ketua Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin berkata, Sabah FC hanya bernasib baik pada perlawanan semalam kerana berjaya merembat gol kemenangan pada minit kecederaan.

Dalam aksi yang berkesudahan memihak kepada tuan rumah dengan keputusan 4-3 itu, beliau berkata, Kuching City FC beraksi lebih baik berbanding Sabah FC.

“Kuching City bermain lebih baik daripada Sabah dan saya bangga dengan semangat juang ditunjukkan pemain Kuching City.

“Saya percaya walaupun rentetan kekalahan (dihadapi Kuching City), tapi sinar itu ada dan saya percaya kalau pemain terus berusaha, kita akan dapat kemenangan yang kita cari.

“Saya percaya selepas ini pemain semakin bersemangat dan insyaAllah kita akan cuba bangkit di Kuching nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu, malam tadi.

Sementara itu, Sulaiman berkata, walaupun tewas, Kuching City FC mendapat keyakinan baharu untuk meneruskan aksi yang lebih mantap dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini.

Katanya, ia berdasarkan prestasi memberangsangkan pasukannya yang berjaya mengikat Sabah 3-3 sebelum keputusan berubah pada minit kecederaan.

“Pada awal permainan nampak kita bergelut dengan kesilapan mudah yang membolehkan Sabah mendapat dua gol. Selepas separuh masa pertama dan selepas dapat arahan daripada Coach Irfan Bakti, nampak ada perubahan dan kita mendapat gol awal.

“Selepas itu kita dapat tambah dua gol lagi menjadikan kedudukan 3-3. Kedudukan tiga sama itu saya anggap satu keputusan yang adil, tapi dalam bola sepak selagi wisel tak tiup selagi itu tak boleh kata dah selamat,” katanya.

Aksi malam tadi menyaksikan Sabah FC mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, sebelum pemain Kuching City mengasak bermula awal babak kedua permainan hingga berjaya menyamakan kedudukan 3-3.

Kedudukan itu bagaimanapun berubah 4-3 seminit sebelum wisel penamat dibunyikan apabila penyerang import baharu Sabah, Ramon Machado de Macedo berjaya merembat gol keempat pada minit ke-93. – Info X

Foto – MAHA