KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengulangi keluhannya terhadap kelalaian anak buahnya yang masih lagi leka dalam permainan selepas mendahului perlawanan.
Ia selepas anak didiknya menang tipis 4-3 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, di sini, menerusi jaringan di penghujung permainan, semalam.
“Kita mengambil mudah selepas kita mendahului dan ini memberi ruang kepada pasukan lawan untuk kembali dan apabila pasukan Kuching City mendapatkan gol pertama serta gol penyamaan ini memberi tekanan kepada kita.
“Namun, kita bernasib baik hari ini di mana kita berjaya mendapatkan gol kemenangan pada lewat permainan. Ini satu perkara positif menunjukkan pemain tidak mudah mengalah tetapi apabila kita dibolosi tiga gol itu satu perkara yang harus kita perbaiki lagi,” katanya.
Mengenai pemain import baharu Sabah FC, Ramon Machado, Kim Swee yakin kejayaan penyerang dari Brazil itu menjaring dua gol malam tadi dapat memberi keyakinan kepadanya untuk mengharungi perlawanan akan datang.
“Malangnya, Miguel Ángel Garrido Cifuentes pula mengalami sedikit kecederaan, jadi saya tidak boleh mengambil risiko untuk membenarkan beliau meneruskan permainan pada separuh masa kedua.
“Jadi kita perlu tunggu dan lihat pada perlawanan akan datang untuk memastikan mereka berada pada tahap yang terbaik,” katanya.
Selain dua gol dijaringkan Ramon Machado pada minit ke-26 dan ke-93, dua lagi gol Sabah FC malam tadi masing-masing disumbangkan Saddil Ramdani pada minit ke-11 dan Stuart John Wilkin (minit ke-57), manakala tiga jaringan Kuching City masing-masing dirembatkan Abu Kamara pada minit ke-66 dan ke-86 serta Amir Amri Salleh pada minit ke-54. – Info X
Foto – MAHA