Search

Kerajaan tambah baik inisiatif pembangunan modal insan babitkan belia

July 9, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi serta pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan di kalangan belia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan juga sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda dengan memperkenalkan beberapa inisiatif yang dirangka dengan berpandukan syor serta pandangan kelompok sasar menerusi pelbagai platform libat urus yang telah dilaksanakan.

Menurutnya, ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan untuk membangunkan belia sebagai aset dan golongan yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Justeru, pada tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan Sabah diperuntukkan RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan.

“Bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya sempena perasmian Program Perhimpunan Permotoran Dua Roda “Sabah Moto Day” siri ke-6, di Padang Kawad, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Teks ucapan Hajiji disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan.

Perhimpunan Hari Moto Sabah itu bukan saja disertai belia dari Sabah, malah daripada Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam.

Katanya, belia adalah aset yang amat penting untuk tanah air dan merupakan generasi pewaris masa depan.

Atas sebab itu, beliau amat bersetuju dan mengalu-alukan program-program yang amat bertepatan yang melibatkan generasi belia.

Beliau berkata, Perhimpunan Hari Moto Sabah merupakan program permotoran yang terbesar dan sering dinantikan oleh belia-belia Sabah dan negeri jiran, yang dapat membantu mengeratkan sillatuhrahim sesama peserta, berkongsi kesedaran keselamatan jalan raya dan sekaligus menggalakkan belia menceburi sukan yang sihat bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam perlumbaan haram.

“Adalah sesuatu yang baik perhimpunan ini turut memberi input berfaedah kepada semua peserta dengan menggabungkan program anti-dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) iaitu taklimat “Ambil Dadah Tidak Cool” dan Ikrar Mat Moto Benci Dadah”.

“Saya juga gembira mendengar bahawa bersama-sama Kelab Bandar Belia Tuaran, satu sesi penyerahan sumbangan ke rumah-rumah anak yatim juga turut diadakan oleh penganjur dan para peserta yang terlibat. Ini merupakan amalan yang sangat mulia yang telah ditunjukkan oleh para belia. Syabas!”, tegasnya.

Hajiji berkata, sukan permotoran popular dan tidak asing lagi di Malaysia kerana ia membentuk persahabatan dengan menjalinkan jaringan dengan orang yang berkongsi minat yang sama selain mengkaji dan menimba ilmu yang lebih mendalam tentang permotoran. – Info X