TUARAN: Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melalui jambatan gantung Kampung Damat – Kampung Lakang, di sini, diperluas hingga empat kilometer dari tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, SAR yang memasuki hari kedua itu disambung jam 7.30 pagi, hari ini.

“SAR bermula dari lokasi mangsa jatuh dengan kaedah ‘surface searching’ menyusuri hilir sungai menggunakan bot bersama agensi lain dan orang awam sejauh empat kilometer.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menjalankan selaman berhampiran lokasi mangsa jatuh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR itu disertai seramai 62 petugas terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran; PPDA Zon Kota Kinabalu; Unit Anjing Pengesan (K9); Unit Drone Zon Kota Kinabalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

“Setakat ini, mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguh pada 6 petang tadi dan akan disambung semula pada esok pagi.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Info X melaporkan Mohd Hisham Iskandar Azli, 13, dikatakan tergelincir sebelum terjatuh dari jambatan gantung berkenaan ke dalam sungai.- Info X