Search

Toyota Hilux langgar rumah, pemandu cedera

July 10, 2023

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki cedera apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas melanggar sebuah rumah dalam kejadian di Kampung Bunga, Jalan Tenggilan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa berusia 32 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.38 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari BBP Tuaran membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dipercayai terbabas sendiri dan melanggar sebuah rumah.

“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada 5.10 petang,” katanya. – Info X