SEMPORNA: Seorang kanak-kanak dan remaja lelaki terselamat selepas bot dinaiki terbakar dalam kejadian di perairan berhampiran sebuah pusat peranginan, di sini, hari ini.
Kedua-dua mangsa berusia dua dan 15 tahun daripada suku Palauh berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.37 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah bot kevler digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, didapati sebuah bot nelayan jenis kayu yang dinaiki oleh seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan kanak-kanak dua tahun telah terbakar.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua unit alat pemadam api jenis debu kering,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke bot pasukan bomba sebelum dibawa ke daratan.
“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu dan operasi ditamatkan pada jam 1.48 petang,” katanya. – Info X