Search

Latihan Perang Borneo uji keupayaan aset, warga TLDM

July 12, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Latihan Perang Borneo Siri 3/23 satu pendekatan dinamik yang digunakan bagi melatih dan menilai keupayaan aset serta kecekapan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur).

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy berkata latihan selama empat hari bermula 7 Julai berkonsepkan latihan seperti siri Perang Borneo sebelum ini iaitu Field Training Exercise (FTX).

“Konsep ini menekankan kompetensi warga dalam menjalani pelbagai evolusi navigasi, komunikasi dan peperangan maritim.

“Sepanjang latihan diadakan, tujuh buah kapal TLDM termasuk dua buah kapal daripada Markas Wilayah Laut 2 berada di Laut China Selatan dan menjayakan semua siri evolusi yang dirancang.

“Sebagai elemen sokongan, Helikopter Operasi Maritim AW139, UAS Scaneagle serta aset sahabat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu dua pesawat HAWK turut membantu menjayakan pelbagai siri seperti peperangan anti udara, latihan pendaratan dek dan Winching Exercise (Winchex),” katanya.

Tambahnya hasil pemerhatian dan dapatan sepanjang latihan ini akan terus menjadi pemangkin kepada MPA Timur dalam menyediakan angkatan laut yang kompeten dan siapsiaga dalam mempertahan kedaulatan perairan negara. – Info X