KOTA KINABALU: Walaupun berdepan tugas sukar, Sabah FC berazam untuk tidak memberi ruang kepada Sri Pahang FC menguasai perlawanan apabila dua pasukan itu bertemu dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, Sabtu ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Sabah FC kini melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan itu dan misinya sudah pasti mencatat keputusan positif.
Katanya, Sabah FC yang kini ketinggalan empat mata dan berada di kedudukan kelima saingan Liga Super perlu memastikan tiga mata dapat dikutip di Stadium Likas.
Katanya, semua pemain perlu lebih fokus pada perlawanan dan mengelak melakukan sebarang kesilapan yang boleh menghukum mereka mencatat kemenangan.
“Kita mengakui kelebihan Sri Pahang FC, tetapi Sabah FC tetap akan memberikan saingan sengit pada perlawanan ini nanti.
“Kali ini Sabah FC tidak akan beri ruang kepada Sri Pahang untuk menguasai permainan, matlamat kita ialah untuk mencapai keputusan positif sabtu ini.
“Sabtu lalu, Kuching City FC hampir mendapatkan satu mata namun kesungguhan pemain mencapai kemenangan harus diberikan pujian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kim Swee berkata, Sri Pahang FC ketika ini memiliki prestasi terbaik serta konsisten meskipun bermain di tempat lawan atau di laman sendiri.
Sementara itu ketika diminta mengulas kecederaan pemain ketika ini Kim Swee berkata, setakat ini Telco dan Cifu masih mengalami kecederaan namun ia tidak menjejaskan persiapan menjelang perlawanan nanti.
“Kita ada beberapa hari lagi sebelum bermain bertemu Sri Pahang FC….Saya berharap mereka akan sempat pulih serta membantu pasukan.
“Kita perlu memastikan agar Sabah FC mempunyai pemain yang mencukupi serta seimbang dalam menghadapi perlawanan akan datang,” katanya. – Info X