Search

PPM tahan 3 lelaki, rampas minyak masak, kosmetik di Semporna

July 11, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan cubaan dua lelaki warga Filipina dipercayai cuba menyeludup keluar 204 peket minyak masak subsidi di perairan Pulau Sibangkat, di sini, malam tadi.

Menerusi Op Gelora, sebuah bot pam yang mencurigakan dipintas PPM Semporna di perairan pulau berkenaan, kira-kira jam 9 malam.

Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati dua lelaki warga Filipina berusia 19 dan 50 tahun serta 204 peket minyak masak bersubsidi berada di dalam bot.

Seterusnya kedua-dua suspek ditahan dan minyak masak bersubsidi dirampas untuk tindakan lanjut.

Nilai rampasan bot dan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM10,534.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan katanya, PPM Semporna turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas barangan kosmetik yang disyaki diseludup masuk dari Filipina ke daerah ini di perairan Pulau Sibuan, di sini, semalam.

Lelaki ditahan bersama barang kosmetik di perairan Pulau Sibuan, Semporna. – Foto/PPM

Ahmad berkata, menerusi Op Taring Gelora jam 6.30 petang itu, mendapati semua kosmetik jenis Ethyl Alcohol tiada kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan nilai rampas bot dan barang kosmetik berjumlah RM31,140. – Info X