KOTA KINABALU: Hujan lebat bermula jam 11 pagi tadi, menyebabkan beberapa kawasan sekitar ibu negeri dilanda banjir kilat.Antara kawasan berkenaan termasuklah Telipok, Inanam, Likas, Sepanggar, Indah Permai, Kolombong, Luyang, jalan masuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE1) serta kawasan perumahan dan pusat komersial sekitar sini.
Keadaan banjir kilat juga menganggu pergerakan lalu lintas di beberapa laluan utama terutama di Jalan Tuaran Bypass.Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan pada jam 2.25 petang memaklumkan amaran ribut petir dan hujan lebat dan dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah sehingga jam 7 malam.
Kawasan itu termasuklah Pedalaman membabitkan Tambunan, Pantai Barat meliputi Sandakan, Telupid dan Beluran serta Kudat.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran.
Jabatan itu juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan merancang perjalanan dengan sebaiknya.
Katanya, penduduk yang mendiami kawasan hotspot banjir juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada.
Sementara itu Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi memaklumkan sepasukan anggota sudah digerakkan ke lokasi banjir bagi membantu memulihkan keadaan lau lintas di kawasan terjejas.
Katanya sebaik menerima maklumat berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Lintas Kelansanan disebabkan laluan tersebut dinaiki air, anggota Trafik IPK Sabah yang membuat pemantauan di sekitar Kota Kinabalu segera ke lokasi bagi mengawal lalu lintas.
“Dalam keadaan hujan lebat, anggota trafik tetap berdiri teguh bagi memastikan aliran trafik kembali lancar.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika memandu dalam keadaan permukaan jalan yang basah dan licin susulan keadaan cuaca sekarang yang kerap hujan terutama pada sebelah petang dan malam,” katanya. – Info X