SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 40 ekor ayam sabung bernilai RM40,000 di perairan Kampung Kuala Bibang, di sini, awal pagi tadi.
Rampasan dilakukan oleh pasukan Maritim Malaysia Zon Maritim Semporna yang menjalankan penugasan Op Pluto Timur, Op Cegah Pati dan Op Tiris di perairan berkenaan, jam 2.40 pagi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, pihaknya menerima maklumat risikan berkenaan kemasukan dua buah bot daripada negara jiran.
Katanya, anggota bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan dua buah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke perkampungan atas air Kampung Kuala Bibang.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot berkenaan bertindak nekad melarikan diri terjun ke laut dan berenang ke arah perkampungan atas air berdekatan.
“Hasil pemeriksaan, kedua-dua bot berkenaan didapati membawa 40 kotak berisi ayam sabung dipercayai diseludup masuk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua ayam sabung dan dua buah bot yang dianggarkan bernilai RM54,000 itu dibawa ke Pangkalan Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut.
“Zon Maritim Semporna akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan serta menjejak suspek terbabit yang dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan di Semporna.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 di bawah seksyen 135 (1) (a) kerana kesalahan terlibat mengimpot atau mengeksport barangan yang tidak berkastam,” katanya.
Amir berkata, Zon Maritim Semporna terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan hot spots terutamanya sekitar sempadan perairan negara.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain jenayah maritim diminta untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya. – Info X