KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan berdiri teguh di belakang rakan-rakan komponen dalam kerajaan perpaduan bagi memastikan kemenangan besar mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos depan.
Ketua Penerangannya, Fredie Sua berkata, parti itu akan menghantar beberapa pemimpinnya ke Selangor bagi membantu kempen calon-calon dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Dalam Mesyuarat Sekretariat Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di PWTC semalam, PBRS telah memaklumkan bahawa akan bersama dengan rakan-rakan dalam komponen kerajaan perpaduan untuk membantu calon-calon mereka demi memastikan kemenangan besar dalam PRN di enam negeri.
“PBRS komited untuk menghantar beberapa pimpinan dari Sabah bagi membantu kempen di negeri Selangor.
“Selaku rakan komponen dalam BN, PBRS akan memastikan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan terus dipertahankan selaras dengan tema PRN kali ini Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fredie berkata, pimpinan PBRS yang diketuai Datuk Arthur Joseph Kurup selaku Presiden, akan terus teguh menyokong kerajaan perpaduan yang telah dibina atas semangat dan prinsip Malaysia Madani.
Katanya, selepas PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terrenganu dan Kelantan, PBRS akan menganjur beberapa program termasuk ‘Leadership Training’ untuk kepimpinan parti di semua peringkat bermula dengan ketua-ketua bahagian serta sayap wanita dan belia.
“Dengan adanya program seperti ini, PBRS akan terus membela nasib rakyat khususnya di Negeri Sabah,” katanya. – Info X