KOTA KINABALU: Pondok Polis Warisan Square diaktifkan semula bermula hari ini sebagai tempat ‘Conferencing Point’ atau tempat persinggahan pertanyaan bagi masyarakat setempat serta pelancong dalam dan luar negara.
Ia akan beroperasi 24 jam bagi memberi dan menyalurkan perkhidmatan kepada masyarakat sesuai dengan kedudukannya yang strategik di pusat bandar raya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pelaksanaan Pondok Polis Warisan Square ini sebagai Conferencing Point sangat bertepatan berikutan kehadiran pelancong yang semakin ramai di sini.

Katanya, melihat kepada industri pelancongan yang semakin pulih sudah tentu kehadiran pelancong luar ke sini juga semakin bertambah.
“Dengan adanya kehadiran polis di pondok polis ini akan menambah keyakinan pelancong serta warga bandaraya terhadap tahap keselamatan di sekitar ibu negeri.
“Kedudukan pondok polis yang strategik yang berada berhampiran dengan lokasi tumpuan termasuk pasar malam serta pusat beli belah akan memudahkan lagi orang ramai untuk mengutarakan sebarang masalah dihadapi atau membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Conferencing Point Pondok Polis Warisan Square, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, dengan pengaktifan semula Pondok Polis Warisan Square ini sebagai Conferencing Point juga mampu mendekatkan lagi hubungan antara polis dan masyarakat bertepatan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Katanya, pondok polis ini juga akan beroperasi 24 jam sehari yang dikendalikan dua anggota setiap masa.
Dalam pada itu, ditanya adakah pihaknya akan menubuhkan lebih banyak Conferencing Point di kawasan lain berikutan keberkesanannya dalam mengurangkan jenayah dan memperlihatkan kehadiran polis adalah terbukti seperti penubuhan pusat ini di Sandakan, Jauteh berkata, perkara itu akan diteliti dari segi keperluan.

“Pondok Polis Warisan Square ini adalah Conferencing Point pertama di Kota Kinabalu dan kedua di Sabah selepas Sandakan, kita akan lihat dari segi kesesuaian sekiranya ingin menubuhkan pusat yang sama berikutan Sabah terkenal dengan industri pelancongan.
“Conferencing Point adalah sebagai pusat pertemuan pelbagai eleman kepolisan dan meskipun penempatan pelbagai anggota bukanlah selama 24 jam tetapi kehadiran anggota kita sudah memadai untuk meyakinkan orang awam dan pelancong luar bahawa tahap keselamatan di kawasan ini sentiasa terkawal,” katanya.
Jelas beliau lagi, Conferencing Point adalah titik pertemuan semua elemen rondaan pihak polis dan unit pencegahan jenayah yang lain bagi sektor pusat bandar raya Kota Kinabalu.
“Selain dijadikan sebagai medium untuk masyarakat menyuarakan masalah, kita juga akan usahakan agar orang ramai boleh membuat laporan polis di pondok polis ini.
“Conferencing Point ini bagaimanapun masih menghadapi beberapa kekangan termasuk sambungan internet yang belum ada menyebabkan Integrated Police Reporting System (IPRS) iaitu sistem penerimaan laporan polis tidak dapat dibuat sepenuhnya ketika ini.
“Buat masa ini kita akan menggunakan secara manual menggunakan borang POL 55 sekiranya ada keperluan,” katanya. – Info X