Search

3 individu termasuk anggota penguatkuasa disyaki ‘seludup’ warga asing ditahan

July 14, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga lelaki ditahan termasuk seorang penguatkuasa selepas dipercayai menerima rasuah berjumlah kira-kira RM12,000 bagi melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Penahanan tiga suspek itu dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Sumber berkata, suspek berusia 35 tahun yang bertugas di Tawau dipercayai bersubahat dengan dua lelaki berusia antara 40 hingga lewat 50-an yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, mereka ditahan ketika diminta hadir ke pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 6 petang, semalam.

Menurutnya, warga Indonesia terbabit yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dipercayai keluar dari Tawau ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, semua suspek akan ditahan selama 24 jam bagi tujuan siasatan lanjut. – Info X