Search

Penunggang maut dilanggar motosikal lain selepas terlanggar anjing

July 16, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar anjing sebelum dirempuh motosikal lain di Jalan Tuaran, dekat stesen minyak Inanam, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, Aidimen Leminggu, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian dan semakan rakaman litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berhampiran mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya yang menunggang sebuah lagi motosikal dari tempat kerja di Kolombong menuju pulang ke rumah di Inanam.

Katanya, ketika itu, kedua-dua motosikal bergerak di lorong tengah dan kedudukan motosikal mangsa sedikit di hadapan motosikal rakannya jenis Yamaha 135LC.

Pasukan polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan akibat terlanggar seekor anjing yang secara tiba-tiba melintas di tengah jalan menyebabkan motosikal terbabas ke lorong kanan jalan.

“Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas ke lorong kanan jalan sebelum mangsa jatuh di tengah jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas Mohd Zaidi lagi, dalam masa yang sama, motosikal ditunggang rakannya berusia 19 tahun yang sedang bergerak dari belakang tidak sempat mengelak dari terlanggar mangsa yang terjatuh di lorong tengah jalan lalu rakannya bersama motosikal turut terbabas ke hadapan di lorong paling kiri jalan

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas, manakala rakanya cedera luka di kedua-dua tangannya.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.

Pegawai polis trafik menjalankan siasatan lanjut di lokasi kemalangan.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X