Search

Polis Sabah rancang naik taraf IPD Labuan

July 17, 2023

Info X Reporters

LABUAN: Polis Sabah merancang untuk menaik taraf Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan yang sudah berusia lebih 30 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil daripada kajian dan perbincangan dibuat oleh IPD Labuan, dapati bahawa memerlukan peruntukan sehingga RM9 juta.

Katanya, IPD Labuan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan untuk merancang pastikan kemudahan dan juga taraf hidup wang IPD Labuan dapat ditingkatkan.

“Hasil daripada perbincangan dan kajian yang dibuat oleh IPD Labuan didapati bahawa memerlukan peruntukan sehingga RM9 juta untuk membaiki kemudahan sedia ada memandangkan kemudahan ini sudah berusia lebih 30 tahun.

“Susulan daripada itu sudah tentu apabila kemudahan lebih 30 tahun sudah ada yang tidak berapa sesuai dan perkara ini memang dalam proses tindakan kerajaan sekarang,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Labuan di Dewan Bancolasi IPD Labuan, di sini, hari ini.

Superintendan Mohd Hamizi Halim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Labuan bagi menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Jawila yang dilantik ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah.

Jauteh berkata, jika dilihat banyak kemudahan untuk anggota Kontinjen Sabah ini dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan peruntukan yang diterima sebanyak RM27.2 juta.

“Untuk IPD Labuan, InsyaAllah, kita akan masukkan dalam rancangan pembangunan.

“Bagaimanapun mungkin dalam masa terdekat ini tidak dapat dilaksanakan sebab peruntukan daerah-daerah telah dikeluarkan namun untuk IPD Labuan kita akan cuba dapatkan untuk tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah peruntukan yang diperlukan sebanyak RM9 juta itu merangkumi semua balai yang ada di Labuan dan kita perhatikan ada beberapa balai itu pun sudah berusia sejak awal kemerdekaan jadi sudah tentu dari segi keselesaan kepada pengguna adalah kurang baik.

“Jadi kita mahu pastikan bukan saja dari segi keselesaan kepada penghuni tetapi juga pelanggan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – Info X