KUALA PENYU: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi manda di pantai Kampung Tanjung Aru Menumbok, semalam ditemukan lemas, hari ini.
Mangsa Haibil Abdo, 17, ditemui terdampar di tepi pantai tidak jauh dari lokasi kejadian oleh orang awam, jam 4.30 petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, waris mangsa sudah membuat pengecaman.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu operasi SAR Maritim diaktifkan pada jam 1 tengahari semalam bagi mengesan mangsa selepas hilang akibat hanyut dibawa arus yang kuat ketika mandi di pantai berkenaan kira-kira 6 petang, 17 Julai lalu.
Menurutnya, sebaik operasi SAR diaktifkan oleh Malaysia Rescue Sub-Center (MRSC) Kota Kinabalu, Bot peronda Kilat 40 dari Zon Maritim Labuan diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.
Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, keadaan laut sekitar lokasi kejadian dalam keadaan yang kurang baik dengan ombak setinggi 3.5 meter dan kelajuan angin mencapai 40 ke 50 kilometer perjam.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua pencarian yang dimulakan seawal jam 7 pagi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi menggunakan sebuah bot milik JBPM dengan kaedah pencarian yang ditumpukan di bahagian permukaan laut iaitu ‘surface searching’.
“Radius pencarian sehingga dua kilometer (KM) dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Tambahnya operasi dijalankan sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu di lokasi sejauh 39 KM dari jarak balai. – Info X