Search

Tiga sahabat sesat ditemukan selamat

July 20, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Tiga sahabat termasuk seorang wanita yang tersesat ketika melakukan aktiviti ‘jungle trekking’ di hutan simpan RDC, di sini, ditemukan selamat, semalam.

Ketiga-tiga mereka masing-masing berusia 18 tahun ditemui pasukan bomba satu kilometer dari laluan masuk ke dalam hutan berkenaan, pada 8.40 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai BBP Sandakan bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Turut terbabit dalam operasi SAR ini ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pencarian dilakukan di sekitar kawasan hutan dimana mangsa dilaporkan sesat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas hampir dua jam pencarian, mangsa berjaya ditemukan kira-kira satu kilometer daripada laluan masuk hutan berkenaan.

“Mangsa ditemukan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.42 petang,” katanya. – Info X