Search

Pekerja ladang maut ditikam guna tombak

July 20, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pekerja ladang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah kawasan ladang, di Merotai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa lelaki warga asing berusia 33 tahun ditemui dengan beberapa kesan luka di bahagian badan dan kepala dipercayai ditikam menggunakan benda tajam jenis tombak.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat suspek pada jam 12.27 tengah hari.

Katanya, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai bergegas ke lokasi kejadian.

Polis menahan seorang suspek selepas disyaki terbabit kes bunuh di sebuah kawasan ladang di Merotai, Tawau. – Foto/PDRM

“Sebaik tiba, polis mendapati mangsa maut di lokasi kejadian akibat lima kesan tikaman termasuk dua di bahagian kepala.

“Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan membuat tangkapan ke atas tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan pada jam 12.30 tengah malam tadi bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, seorang daripada tangkapan lelaki berusia 53 tahun dihantar ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman sehingga 27 Julai ini, manakala yang lain dibebaskan.

Menurutnya, polis juga merampas sebuah motosikal dipercayai milik mangsa yang ditemukan bersama suspek.

“Polis turut merampas senjata tajam jenis tombak yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Kita percaya kes ini telah diselesaikan dengan tangkapan lelaki yang ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X