Search

Wanita warga emas meninggal dunia dalam kereta

July 22, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di Jalan Signal Hill, berhampiran Dewan Hakka, di sini, malam tadi.

Kejadian disedari orang awam yang memaklumkan pihak berkuasa selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan enjin kereta masih hidup.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 8.25 malam menyatakan ketika berjoging terlihat sebuah kereta jenis Proton Saga warna maroon dalam keadaan mencurigakan parkir di kawasan berkenaan.

Katanya, kereta enjin dalam keadaan hidup, lampu menyala dan apabila menghampiri kereta itu ternampak seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai meninggal dunia.

Pasukan Forensik IPK Sabah menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat wanita warga emas di Jalan Signal Hill, berhampiran Dewan Hakka, Kota Kinabalu.

“Pada 8.31 malam, polis dari Unit Ronda FRM Balai Polis Kota Kinabalu yang tiba di lokasi dan pihak ambulans dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) telah berada di lokasi dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan berlakunya tanda-tanda unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dirujuk ke Forensik HQE I, untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut (SDR).

“Turut berada di tempat kejadian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya. – Info X