RANAU: Seorang pekebun cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika membersihkan kawasan kebun di Jalan Jabatan Air Ranau, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.10 petang itu, Julios Asun, 51, yang cedera di bahagian pinggang kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan jam 2.22 petang itu, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, terdapat pokok tumbang menghempap seorang lelaki yang sedang membersihkan kebun di kawasan berkenaan.
“Mangsa mengalami cedera di bahagian pinggang akibat dihempap pokok.
“Pasukan bomba bertindak mengalihkan pokok tumbang dan memindahkan mangsa menggunakan Pelvic Immobilizers,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan pada jam 3.18 petang,” katanya. – Info X