Search

Enam rumah musnah terbakar di Tawau

July 27, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran berhampiran Taman Damai, Jalan Damai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, enam rumah jenis separuh kekal yang membabitkan keluasan 20×30 kaki musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.34 pagi.

Katanya, seramai 19 anggota dan pegawai bersama empat jentera termasuk EMRS digerakkkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan enam buah rumah separuh kekal dan sudah musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus menjalankan operasi memadam menggunakan dua pancutan daripada sumber air tangki jentera bomba bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lain.

Anggota bomba memadam kebakaran di berhampiran Taman Damai, Jalan Damai, Tawau. – Foto/Bomba

“Setakat ini, kebakaran hanya membabitkan kehilangan harta benda sahaja dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

“Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4 pagi,” katanya. – Info X