KOTA KINABALU: Tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) terbukti terjamin apabila kehadiran pelancong ke kawasan itu meningkat sebanyak 80 peratus.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, data yang dikumpul sebelum ini menunjukkan jumlah pelancong tempatan lebih tinggi berbanding pengunjung luar.
“Data yang dikumpul dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu bagaimanapun menunjukkan keputusan sebaliknya iaitu terdapat perbezaan ketara yang merekodkan pelancong luar lebih tinggi berbanding rakyat tempatan.
“Analisis juga mendapati kepercayaan berkenaan kekukuhan sistem pertahanan negara di tahap tertinggi dan fahaman berkenaan kawasan pantai timur Sabah yang dianggap tidak selamat adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa diminta untuk mengulas berkenaan tanggapan netizen yang mendakwa masih takut untuk melancong di pantai timur Sabah.
Katanya peranan media sangat penting bagi memberikan pencerahan serta keadaan sebenar kawasan ESSZONE terutama pantai timur Sabah yang selamat selain mempunyai pemandangan alam semulajadi yang begitu cantik.
“Saya tegaskan tahap keselamatan di pantai timur Sabah terkawal serta isu penculikan tidak lagi berlaku sejak Januari 2020 dan tiada sebab untuk rasa takut berkunjung ke sini.
“Pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit juga meningkat lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengisytiharkan Kluster Industri Minyak Sawit Lahad Datu (POIC) sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ) yang memerlukan pelabur untuk masuk ke sini seterusnya mengembangkan perniagaan dan memberi peluang pekerjaan meluas kepada penduduk,” katanya.
Katanya misi dan visi ESSCOM adalah menjaga kesejahteraan rakyat serta pengunjung luar dalam memastikan bukan sahaja penduduk tetapi pelancong rasa selamat sepanjang berada di kawasan ini.
Katanya usaha ini juga bagi mengekalkan lebih ramai kemasukan pegunjung luar berikutan data yang diperoleh daripada pengusaha resort menunjukkan peningkatan kemasukan pengunjung luar termasuk China, Korea dan Taiwan sehingga 80 peratus.
“Keadaan ini memberikan nilai tambah kepada Sabah dan ESSCOM sebagai jenama keselamatan akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengawal keselamatan negara serta membantu memperkukuh industri yang ada di pantai timur Sabah,” katanya.
Terdahulu Victor ditemui media selepas Majlis Malam Penghargaan Media ESSCOM di sini.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Hazani Ghazali, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Deputi Komisioner Shahurinain Jais, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM Dr. Jamaluddin Mohd. Ali, Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCOM Senior Asisten Komisioner Datuk M Chandra dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Mugutan Vanar. – Info X