Search

Pasukan dron tingkat keberkesanan keselamatan di ESSZONE

July 28, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menempatkan dron di kapal Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu bagi meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Pengarahnya, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, penggunaan sistem dron menjadi responden pertama untuk mengenal pasti risiko dan ancaman terutama di kawasan perairan dan sempadan negara.

“Selepas menerima kunjungan delegasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) baru-baru ini, saya putuskan untuk menempatkan sebuah pasukan dron yang berpusat di Lahad Datu.

“Pasukan dron terbabit akan dikendalikan oleh PPM Lahad Datu dan dron akan diletakkan di atas kapal PPM.

“Jika berlaku kecemasan, dron akan diterbangkan sebagai tindakan pertama sebelum pasukan petugas ESSCOM memberikan tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Media ESSCOM 2023, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Deputi Komisioner  Shahurinain Jais, Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM Dr Jamaluddin Mohd Ali dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Mugutan Vanar.

Mengulas lanjut, Hazani berkata pasukan dron ditubuhkan berikutan terdapat pegawainya yang mempunyai pengiktirafan kemahiran di peringkat dunia.

“Kita ada kemahiran di Pasukan Gerakan Udara (PGU) iaitu pegawai Asisten Komisioner yang diiktiraf oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berkaitan penggunaan dron.

“Tenaga pengajar yang diiktiraf di peringkat dunia boleh melatih pasukan dron dan bagi peringkat awal kita akan memberikan tanggungjawab ini kepada PPM Lahad Datu bagi bersama-sama membantu ESSCOM menjalankan kawalan keselamatan di perairan dan sempadan pantai timur Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata pihaknya setakat ini hanya menumpukan kepada penggunaan dron berikutan teedapat kekangan terhadap pesawat tanpa pemandu (UAV).

“Penggunaan UAV diaplikasi sejak 2013 bagaimanapun ia dikendalikan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kita tidak mempunyai masalah untuk menggunakan UAV bagaimanapun sekiranya kerajaan memberikan bantuan sepenuhnya kita akan mengaplikasi dalam pengoperasian.

“UAV memerlukan beberapa fasiliti yang banyak termasuklah lapangan terbang berbanding dron yang berkonsepkan Pelepasan dan Pendarat Menegak (VTOL) iaitu boleh dikendalikan di mana-mana sahaja.

“Tidak dinafikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini bagi tujuan aktiviti pengawalan sempadan membabitkan penggunaan dron pemantauan udara amat diperlukan dengan menjalankan rakaman secara langsung di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan udara menggunakan teknologi dron sebenarnya masih lagi baharu dan pihaknya akan berusaha untuk mengaplikasi di sini terlebih dahulu bagi peringkat awal.

Teknologi penggunaan dron membolehkan semua pengawasan operasi dapat dipantau secara langsung daripada jauh melalui pelbagai peranti, sekali gus memberi jaminan pengawasan dan keselamatan sempadan yang lebih berkesan seterusnya membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI). – Info X