KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya penggunaan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) diperkasakan bagi memantapkan lagi penubuhan dan peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bagi memastikan penubuhan ESSCOM selaku peneraju keselamatan dalam
mengkordinasi pengoperasian kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur
(ESSZONE) dapat dioptimumkan terutama dari segi keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan.
Menurutnya, kawasan ESSZONE meliputi 10 daerah, dari Kudat hingga ke Sandakan dan keadaan ini amat mencabar.
“Justeru, penggunaan UAV ini bukan sahaja akan mengurangkan risiko keselamatan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas tetapi juga meningkatkan domain udara khususnya dalam melaksanakan pengawasan di kawasan pantai timur Sabah dan lebih berorientasikan pengguna akhir (end user),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Media ESSCOM 2023 di Hotel Hilton, di sini, malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNK) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis Victor Sanjos.
Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan bertanggungjawab kepada ESSCOM berkata, penggunaan aset dan teknologi baharu seperti UAV akan memperhebatkan lagi kawalan keselamatan di Sabah khususnya di ESSZONE.
Jelasnya, ini akan membantu memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di sempadan dan perairan negara bagi menangani sebarang keadaan atau isu yang tidak diingini.
“Atas dasar keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan petugas
ESSCOM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan
peruntukan sebanyak RM40 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti kuarters petugas ESSCOM di Lahad Datu.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan dan semoga inisiatif ini akan menambahkan lagi semangat petugas di ESSCOM untuk memberikan yang terbaik dalam mempertahankan kedaulatan negara”, tegasnya.
Mengulas kes tuntutan Sulu, beliau berkata, keputusan oleh Mahkamah Tinggi The Hague yang memihak kepada Malaysia merupakan kemenangan besar kepada kerajaan Malaysia amnya dan Sabah khasnya.
Hajiji menegaskan, ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti berusaha melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara. Demikian juga kerajaan negeri, tidak akan pernah membenarkan mana-mana pihak yang cuba mencabul hak dan kedaulatan negeri Sabah. – Info X