PITAS: Seorang lelaki warga emas maut selepas jentera berat dikendalinya jatuh ke gaung sedalam 80 meter di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Rosob, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mangsa Kok Vui Siong, 64, maut akibat tersepit di dalam jentera berat berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.41 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba dimaklumkan kemalangan membabitkan sebuah jentera berat jatuh gaung sedalam 80 meter ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan ladang.
“Terdapat seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan bantuan jengkaut,” katanya dalam kenyataan, media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada 4.24 petang,” katanya. – Info X