Search

APMM, ESSCOM tingkatkan kerjasama laksana lebih banyak Op Bersepadu

July 27, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merancang untuk melaksanakan lebih banyak operasi bersepadu bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam usaha mengekalkan kedaulatan perairan negara.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, hubungan Maritim Malaysia dan ESSCOM bertambah erat dengan adanya pelbagai kerjasama antara satu sama lain.

Katanya, koordinasi APPM dan ESSCOM sudah terjalin sejak 10 tahun lalu, bagaimanapun pengalaman yang ada sebagai bekas Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM yang diperoleh daripada penugasan sebelum ini dapat dimanfaatkan dalam kerjasama ini.

Tambahnya, sepanjang menjalankan tugas selama tempoh dua tahun lebih di ESSCOM, beliau sudah memahami secara jelas berkenaan selok belok dan keperluan di ESSCOM.

“Objektif ESSCOM adalah menjaga kesejahteraan dan keselamatan serta mengekang pencerobohan di perairan manakala APMM melaksanakan tugas penguatkuasaan.

“Gabungan antara kedua-dua pihak ini mengikut kuasa eksekutif akan diperkemaskan dan diperkasa bagi membolehkan sebarang peruntukkan yang tidak boleh dilaksanakan pihak APMM dapat diperkasa.

“Kita juga akan menggunakan koordinas ini dalam melaksanakan operasi bersepadu bersama bagi memantapkan lagi kerjasama di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama media sempena menerima kunjungan hormat daripada delegasi ESSCOM di sini.

Turut hadir, Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos dan Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Chandrasehkaran A/L Muthu.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkara yang akan diutamakan sepanjang memegang jawatan Pengarah Maritim Sabah dan Labuan bukan setakat menumpukan perihal pemantapan operasi di laut tetapi turut memperkasa mesra rakyat.

“Seperti sedia maklum APMM ditugaskan untuk menjaga ketenteraman zon Maritim Malaysia, bagaimanapun pada masa sama kita juga mahu untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti di laut.

“Komuniti maritim boleh menjadi mata dan telinga dalam membantu Maritim Malaysia dari segi penguatkuasaan serta operasi mencari dan menyelamat di laut,” katanya.

Tambahnya, usaha untuk merapatkan hubungan itu juga perlu supaya masyarakat maritim tidak merasa takut dengan pasukan penguatkuasa berikutan komuniti inilah yang bertindak sebagai sahabat serta rakan dalam memberi bantuan dalam usaha menjaga ketenteraman di lautan. – Info X