KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan lebih 80 asetnya setiap hari, termasuk di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terjaga.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, pihaknya berjaya mengekalkan prestasi terbaik sebagai agensi penguatkuasa maritim negara.
Katanya, pencapaian terbukti melalui rekod prestasi selama enam bulan berdasarkan statistik hari di laut yang berjaya dikekalkan.
“Kita mengerakkan lebih 80 aset iaitu 18 kapal dan 71 bot bagi menjaga perairan Sabah dan Labuan termasuk 18 aset di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Meskipun berhadapan beberapa kekangan, kebijaksanaan pegawai APMM kita mampu mengekalkan penugasan 24 jam selama tujuh hari beroperasi di lautan bagi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.
“APMM Sabah dan Labuan juga memenuhi pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) sebagai kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan mengekalkan prestasi ini berdasarkan statistik yang direkodkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama media sempena kunjungan hormat daripada delegasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Ibu Pejabat APMM Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Victor Sanjos dan Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCOM, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Chandrasehkaran A/L Muthu.
Dalam pada itu, beliau berkata APMM kini dalam perancangan mewujudkan pangkalan udara di Labuan bagi menempatkan aset udara iaitu helikopter yang kini ditempatkan di Subang.
“Dalam tempoh sekarang kita masih dalam perancangan untuk pemerolehan bajet dan sekiranya diluluskan, kita akan mempunyai skuadron atau pangkalan udara baharu di Labuan bagi membantu dalam operasi penguatkuasaan Maritim,” katanya. – Info X