Search

8 PATI ditahan ketika memetik rumpai laut

July 28, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seramai lapan lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti memetik rumpai laut di kawasan perairan Pulau Sebatik, di sini, semalam.

Semua mereka warga Indonesia berusia 18 hingga 41 tahun ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau ketika sedang menjalankan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, aset bot peronda APMM yang sedang menjalankan rondaan di sektor operasi mengesan dua bot jenis jongkong.

Lapan PATI warga Indonesia ditahan ketika memetik rumpai laut di perairan Pulau Sebatik, Tawau. – Foto/APMM

Katanya, ketika itu, semua mereka dipercayai sedang menjalankan aktiviti memetik rumpai laut di kawasan perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot-bot berkenaan masing-masing dikendali oleh seorang juragan bersama tiga pekerja dan dipercayai warga Indonesia.

“Semua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua bot jongkong, enjin bot, barangan peribadi disita dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM50,000.

PATI yang ditahan APMM di perairan Pulau Sebatik, Tawau. – Foto/APMM

Sementara itu, beliau berkata, APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras
aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dengan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi lain agar undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

Katanya, orang ramai khususnya komuniti maritim digesa untuk turut
sama-sama membantu agensi ini dengan menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian kecemasan MERS 999. – Info X