PENAMPANG: Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di sebuah kawasan perumahan di Putatan, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, insiden dilaporkan berlaku pada 27 Julai lalu pada jam 7.08 malam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian semua lelaki terbabit dipercayai berada dibawah pengaruh alkohol dan berlaku perselisihan faham sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Insiden berkenaan menyebabkan seorang lelaki yang turut terlibat meninggal dunia selepas pulang ke rumahnya.
“Mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sammy berkata, setakat ini, satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut laporan mati mengejut (SDR).
Namun katanya, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Sehubungan itu, Sammy menasihati orang ramai supaya tidak memuatnaik sebarang bahan tidak sahih di mana-mana platform aplikasi media sosial.
Katanya, ia bagi mengelakkan berlakunya kegusaran dalam kalangan orang awam. – Info X