Search

Polis mohon bantuan orang ramai kesan Sefuan Taha

July 29, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Polis memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan seorang lelaki sejak Ahad lalu tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, mangsa dikenali sebagai Sefuan Taha, 33 tahun dan bekerja sebagai pembantu bot di Jeti Sutera Harbour Kota Kinabalu.

Katanya, mengikut laporan diterima, mangsa tidak balik sejak keluar dari rumahnya di Taman Pengalat  Besar Papar untuk ke tempat kerjanya pada pagi 23 Julai lalu.

“Mangsa tidak dapat dihubungi dan sehingga kini masih tidak dapat dipastikan di mana keberadaannya.

“Siasatan di tempat kerjanya juga mendapati, mangsa meninggalkan tempat kerjanya dengan menaiki motosikal pada jam 3.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruddin berkata, hasil temu bual dengan  pengadu, dia ada berhubung dengan mangsa pada jam 5.50 petang 23 Julai lalu dan sehingga kini tidak lagi dapat dihubungi.

“Sehingga kini usaha mencari dan mengesan mangsa sedang giat dilakukan oleh rakan sekerja, ahli keluarga dan pihak polis,” katanya. – Info X