Search

Jadikan gerakan koperasi, bidang keusahawanan sebagai satu budaya tingkat tahap ekonomi – Zahid

July 30, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Belia di negara ini wajar menjadikan gerakan koperasi dan bidang keusahawanan sebagai satu budaya untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, belia tidak seharusnya melihat koperasi sebagai sebuah badan sukarela semata-mata sebaliknya wadah bagi mewujudkan jati diri perniagaan seterusnya menanam budaya keusahawanan dalam diri mereka.

Katanya, belia perlu menjadikan koperasi dan keusahawanan sebagai kerjaya dan tidak terlalu melihat ia sebagai perniagaan berbentuk produk sahaja.

“Lihat dari segi perkhidmatan… selain itu, lihat juga aspek bagaimana ia dapat memberi keutamaan kepada belia di luar bandar supaya ia terimbang pertumbuhan ekonominya.

“Saya juga melihat koperasi perlu main peranan dalam usaha mewujudkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia melalui latihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) 4.0 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin serta Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Abidin Madingkir.

Zahid berkata, sektor koperasi dan keusahawanan juga mampu memainkan peranan ke arah mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.

“Bidang ini bukan hanya kerja makan gaji tetapi juga keusahawanan, justeru kita bekerjasama bukan (bergerak secara) solo ke arah hasrat ini dan kita harap usaha ini (mengurangkan pengangguran belia) dapat kita realisasikan menerusi pelbagai kementerian, juga kerajaan negeri,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Beliau berkata kerajaan melalui agensi berkaitan terutama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mempunyai pelbagai mekanisme untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia terlibat dalam bidang itu antaranya melalui pembiayaan serta bimbingan perniagaan.

Zahid juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, memaklumkan bahawa kadar pengangguran bagi rakyat Malaysia berumur 24 tahun ke bawah kekal di atas 10 peratus dan ia antara perkara yang menjadi keutamaan kerajaan untuk dikurangkan.

“Menerusi Belanjawan 2023, beberapa langkah telah diketengah bagi membantu belia dalam menghadapi kos sara hidup dan meringankan beban ekonomi mereka tanpa mengira latar belakang sosioekonomi termasuk akses kepada pembiayaan serta program peningkatan kemahiran,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan APCYS 4.0. – Info X