Search

Keahlian Umno digugur secara automatik, Shahelmey terima dengan hati terbuka

July 31, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau menerima secara hati terbuka bahawa keahliannya dalam Umno sudah digugurkan secara automatik.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau kini akan menfokuskan kerjanya kepada rakyat sehingga 2025 sebelum memutuskan hala tuju beliau selepas itu.

“Saya menerima perkara ini dengan hati terbuka dan saya akan terus bekerja sehingga 2025 dan akan lihat apa hala tuju selepas itu,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik 4.0 pada Ahad menjelaskan, segala isu yang timbul akibat penggantungan Shahelmey daripada Umno selama enam tahun akan diselesaikan secara dalaman.

Zahid berkata, Umno pada masa ini berpendirian bahawa Shahelmey merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

Pada 18 Mac lalu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan bahawa Shahelmey digantung daripada UMNO selama enam tahun berikutan tindakannya membelakangkan keputusan parti.

Sebagai maklum balas terhadap keputusan itu, Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat sebelum ini berkata, beliau tidak akan merayu berhubung tindakan yang diputuskan UMNO.

Ketika kemelut politik Sabah pada Januari lalu, Shahelmey menentang keputusan UMNO negeri untuk keluar daripada kerjasama membentuk Kerajaan Negeri dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain Shahelmey, empat lagi ADUN mewakili UMNO Sabah turut menentang keputusan itu iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild Awang (Balung).

Kecuali Shahelmey, mereka mengumumkan keluar parti pada 21 Februari lalu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). – Info X