KOTA KINABALU: Jumlah penduduk Malaysia pada tahun ini dianggarkan seramai 33.4 juta berbanding 32.7 juta pada 2022.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan, pertambahan yang dijangkakan itu adalah sebanyak 2.1 peratus dan ianya diterajui oleh migrasi antarabangsa.
Menurut DOSM, peningkatan kadar pertumbuhan penduduk disebabkan oleh bilangan bukan warganegara yang lebih tinggi yang berkemungkinan meningkat daripada 2.5 juta pada 2022 kepada 3 juta pada 2023.
Populasi penduduk juga diunjurkan meningkat daripada 30.2 juta pada 2022 kepada 30.4 juta pada 2023 dengan pertumbuhan kecil sebanyak 0.7 peratus.
Komposisi penduduk bagaimanapun diunjur menurun daripada 92.4 peratus pada 2022 kepada 91.1 peratus pada 2023.
Ini disebabkan oleh peningkatan komposisi penduduk bukan warganegara daripada 7.6 peratus kepada 8.9 peratus.
Peningkatan itu juga selaras dengan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April 2022 dan pelaksanaan Program Penstrukturan Semula Pekerjaan 2.0 mulai Januari 2023.
Menurut DOSM, jumlah lelaki mengatasi wanita pada 2023, masing-masing 17.5 juta dan 15.9 juta.
Nisbah jantina bagi keseluruhan populasi ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Komposisi penduduk berusia 15-64 tahun (umur bekerja) diunjurkan meningkat daripada 69.6% pada 2022 kepada 70.0% pada 2023.
Peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas (usia tua) dijangka meningkat daripada 7.2% kepada 7.4% bagi tempoh yang sama.
Sementara itu, komposisi penduduk berusia 0-14 tahun (umur muda) pada 2023 diramal menurun kepada 22.6% berbanding 23.2% pada 2022. – Info X