PENAMPANG: Sebuah keluarga di Taman Kemayan, di sini, terkejut selepas bunyi pelik dibelakang rumah rupanya disebabkan seekor ular sawa sepanjang tiga meter yang membaham haiwan peliharaannya, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu disedari pemilik rumah berusia 57 yang mendapati seekor angsa peliharaannya sedang dibelit ular seberat lapan kilogram.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Penampang, Leftenan (PA) Helson Marajun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 pagi.
Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu pemilik rumah berkenaan yang bimbang akan keselamatan keluarganya.

“Pasukan operasi seterusnya menjalankn usaha menangkap ular berkenaan menggunakan full PPE.
“Semua anggota terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak pengadu amat berpuas hati dengan bantuan APM menangkap reptilia berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Helson berkata, ular sawa itu dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk.
“Operasi ditamatkan pada jam 9.01 pagi,” katanya. – Info X