PENAMPANG: Seorang pekerja pembersihan terkejut selepas menemui mayat lelaki di dalam parit bahu jalan di Jalan Putatan, berhampiran Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.
Mayat Sefuan Taha, 33, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 23 Julai lalu ditemui berada di tepi motosikal miliknya.
Ibnu Ismail, 64, berkata, sebelum penemuan itu, dia bersama beberapa rakannya sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan semak di bahu jalan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ketika sedang menebas rumput, saya melihat tayar motosikal dan terus cuba mendekati untuk mengambilnya untuk dijual.
“Apabila menghampiri saya terkejut melihat seorang lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan terduduk bersebelahan dengan motosikal berkenaan.
“Saya tergamam dan terus memaklumkan kepada rakan untuk menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan, hari ini.

Ibnu berkata, dia yang sudah bekerja sebagai pemotongan rumput setahun lalu berkata, dia tidak terhidu bau pelik di tempat kejadian.
“Saya melihat keadaan mangsa baik sahaja. Saya tidak tahu mangsa adalah orang yang dilaporkan hilang sejak 23 Julai lalu.
“Pada Jumaat lalu, saya dan rakan ada membuat kerja-kerja membersihkan rumput di tengah pembahagi jalan di berhampiran dengan lokasi penemuan mayat mangsa namun tidak ada yang mencurigakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan penemuan berkenaan pada jam 8.35 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal, polis mendapati mangsa bergerak dari arah Kota Kinabalu ke Papar sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemui oleh pekerja pembersihan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian ini diminta rampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Sammy berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) untuk proses bedah siasat.
Sehubungan itu, Sammy meminta orang awam supaya tidak menyebarkan gambar-gambar mangsa di lokasi kejadian dan fakta tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga. – Info X