KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat menahan sebuah bot pukat tunda kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah di perairan daerah ini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.55 malam itu, dua lelaki berusia 24 dan 46 tahun warga Filipina turut ditahan selepas didapati mempunyai pengenalan diri yang tamat tempoh.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya menahan sebuah bot pukat tunda diposisi 1.9 batu nautika tenggara Esplanade, ketika melaksanakan rondaan Op Pluto Timur.
“Hasil pemeriksaan, terdapat dua lelaki warga Filipina didapati mengendalikan bot berkenaan dan Kedua-dua mereka didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, terdapat barang kawalan bersubsidi yang dibawa bot berkenaan iaitu sejumlah 30 tong berisi minyak petrol dianggarkan sebanyak 600 liter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek bersama bot dan semua barang rampasan dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan atau barang kawalan bersubsidi dengan niat untuk melakukan kesalahan.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.
Sementara itu, Maurice Grenville berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang salah laku jenayah di laut boleh membantu dengan memaklumkan kepada APMM.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – Info X