LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pegawai beruniform kerana disyaki menggunakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu bagi tujuan tuntutan tugasan rondaan berjumlah lebih RM100,000.
Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 tahun itu dipercayai ditahan kira-kira jam 2.30 petang tadi di pejabat SPRM Labuan.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang bertugas di Labuan dan Tawau dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2019.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan esok pagi bagi tujuan permohonan reman,” katanya. – Info X