Search

16 kes berkaitan cuaca panas di Sabah, majoritinya kelesuan haba

August 2, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 16 kes berkaitan cuaca panas direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di Sabah sepanjang tempoh 15 April hingga 1 Ogos.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Asits Sanna berkata, daripada jumlah berkenaan, 10 kes membabitkan kelesuan haba, tiga kes kekejangan haba dan tiga kes strok haba.

Katanya, kes berkaitan dengan cuaca panas yang terkini dilaporkan adalah satu kes membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba.

Beliau berkata, pelajar terbabit telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan pada 27 Julai dan telah dibenarkan pulang pada hari yang sama.

“Faktor risiko yang dikenalpasti adalah terlibat dalam aktiviti bersukan dalam keadaan cuaca panas.

“Jabatan Meterologi Malaysia telah mengeluarkan status cuaca panas bagi Sabah yang dikemaskini pada 4.40 petang, 1 Ogos dengan empat daerah iaitu Tuaran, Nabawan, Beluran dan Kinabatangan dilaporkan berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga).

“Kesemua kawasan itu dijangka mencatat suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Asits berkata, orang ramai dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga termasuk melakukan beberapa perkara untuk mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas.

“Minum air kosong yang mencukupi, kurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan, dan kurangkan aktiviti fizikal semasa cuaca panas.

“Selain itu, awasi kesihatan dan aktiviti anak-anak semasa cuaca panas, galakkan anak-anak supaya membawa air kosong ke sekolah dan kerap minum air,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai turut dinasihatkan menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan, memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung untuk melindungi diri dari pancaran haba matahari.

Katanya, orang ramai juga perlu peka dengan kehadiran haiwan liar seperti ular yang mana ketika cuaca panas, ular terpaksa keluar daripada habitat untuk mencari tempat yang redup dan banyak sumber makanan seperti dalam rumah dan kawasan sekitar.

“Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

“Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas adalah badan berasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi laju, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

“Kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan ini,” katanya.

Asits turut menasihati orang ramai supaya segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya mengalami tanda-tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba, strok haba dan sekiranya dipatuk ular.

“Nasihat kesihatan menghadapi cuaca panas juga boleh diperolehi daripada portal rasmi Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia di aman sesawang https: www.infosihat.gov.my/cuaca-panas.html. – Info X