Search

Bot karam di Sandakan, mayat kanak-kanak ditemukan

August 2, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Mayat kanak-kanak lelaki yang hilang dalam kejadian bot karam di 0.2 batu nautika Tanjung Batu, di sini, semalam ditemukan pagi tadi.

Mangsa Romy Azlan, 7, ditemukan 600 meter dari lokasi bot karam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), jam 11.08 pagi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian bot karam berkenaan kira-kira jam 4 petang, pada Selasa.

Pasukan keselamatan mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas di 0.2 batu nautika Tanjung Batu, Sandakan. – Foto/APMM

Katanya, APMM bertindak membuka pangkalan Hadapan Carilamat bagi mengkoordinasi pencarian berkenaan dan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa.

“Mangsa bersama lima keluarganya termasuk dua kanak-kanak menaiki bot berkenaan dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang.

“Bot itu kemudian dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Bot Peronda Banggi 14 dan Bot Kilat 8 dari Zon Maritim Sandakan diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.

“Turut membantu pencarian Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan,” katanya. – Info X