Search

Dua pemandu mabuk masing-masing didenda RM10,000

August 2, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk, di sini, baru-baru ini.

Mohammad Sairul Perre Aundry Abdullah, 30, dan Mohd Zulkifli Osman,18, dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman tambahan penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh juga dikenakan hukuman penjara sebulan kerana didapati memandu kenderaan dengan tidak memiliki lesen memandu oleh Majistret Don Stiwin Malanjum.  

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sim Hwa Seng di dalam daerah Tawau, antara jam 12.55 tengah malam hingga jam 1 pagi, 23 Julai lalu.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah kesemua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Mohammad Sairul juga dikenakan hukuman tidak layak memegang lesen memandu dalam tempoh dua tahun, manakala Mohd Zulkifli akan rujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman.

Sementara itu, seorang lagi lelaki warga asing dihukum penjara dua bulan selepas terlibat dalam kemalangan maut seorang pejalan kaki.

Muhammad Yassin Hassan,19, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Yassin yang menunggang motosikal telah terlibat dalam kemalangan maut di Batu 3 Jalan Apas, pada 30 Januari lalu, jam 4.30 petang dan tidak melaporkan kejadian dalam tempoh 24 jam.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 52(2) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan. 

Semua pendakwaan kes berkenaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh negara.

Oleh itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk. – Info X