KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan, pertembungan ‘Borneo Derby’ dengan Kuching City FC sentiasa mempunyai persaingan sengit.
Katanya, Sabah FC tidak memandang rendah keupayaan Kuching City FC, lebih-lebih lagi pasukan itu kini bawah bimbingan ketua jurulatih baharu dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.
Kedua-dua pasukan itu bakal bertemu dalam perlawanan pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.
Katanya, persaingan tentu berbeza dengan kehadiran ketua jurulatih baharu sekali gus memerlukan Sabah FC lebih bersiap sedia untuk berdepan dengan pertembungan ‘Borneo Derby’ itu nanti.
“Ini perlawanan pertama di tempat lawan (dalam saingan Piala Malaysia 2023) dan kali ketiga Sabah FC menentang Kuching City FC pada musim ini.
“Seperti kebiasaannya pertembungan Borneo Derby ini memang banyak persaingan di antara kedua-dua kelab. Saya jangkakan juga perlawanan ini nanti cukup sengit terutama dengan kehadiran jurulatih baharu Kuching City.
“Sudah pasti mereka mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan Sabah FC tidak mendapat mata penuh apabila bermain di sana nanti,” katanya.
Aidil Sharin yang pernah mengendalikan Kedah Darul Aman (KDA) FC dari 2019 hingga tahun lalu dilantik menggantikan Irfan Bakti untuk membimbing pasukan Kuching City, bermula bulan ini.
Sementara itu, mengulas ketiadaan Sadil Ramdani, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu dan Darren Lok yang mungkin mengganggu persiapan Sabah FC, Kim Swee berkata, pihaknya masih mempunyai masa untuk menentukan pengganti ketiga-tiga pemain itu.
“Mereka mengalami kecederaan hampir dua minggu selepas perlawanan dengan Kuching City di sini (Kota Kinabalu) tempoh hari.
“Darren dan Park Taesu pula masih cedera selepas perlawanan menentang Penang FC, namun sudah tentu kita ada pemain lain bersiap sedia untuk menggalas tugas dengan sempurna nanti,” katanya.
Kim Swee juga mengakui setakat ini Sabah FC sudah dibolosi 25 gol namun, katanya masalah itu sudah mula diatasi selepas pusingan kedua Liga Super bermula. “Ini adalah antara kelemahan kita.
Jika dilihat pada pusingan kedua selepas perlawanan menentang Kuching City, kita berjaya memperbaiki daripada dibolosi melebihi satu gol.
“Apa yang penting kita akan terus memperbaiki kelemahan sedia ada. Sabah FC akan cuba agar tidak dibolosi banyak gol pada setiap perlawanan,” katanya. – Info X