Search

Bengkel terbakar, puluhan kenderaan musnah

August 5, 2023

Junaidi Ladjana

PUTATAN: Puluhan kenderaan termasuk kenderaan lama musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Ramayah, berhampiran kedai perabot, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, turut musnah rumah pekerja dan rumah sarang burung namun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Keadaan bengkel yang terbakar hingga menyebabkan puluhan kenderaan musnah terbakar di Jalan Ramayah, Putatan. – Foto/MAHA

Kebakaran itu juga menyebabkan kepulan asap dari lokasi kejadian mencemaskan penduduk setempat.

Difahamkan, beberapa kenderaan yang musnah itu baru sahaja dihantar oleh pemiliknya untuk dibaiki di bengkel berkenaan.

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah bengkel di Jalan Ramayah, Putatan. – Foto/MAHA

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 9.29 pagi.

Katanya, disebabkan keadaan kebakaran agak besar, operasi memadam kebakaran turut dibantu pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas.

Sebahagian kenderaan yang musnah terbakar. – Foto/MAHA

“Operasi memadam kebakaran dijalankan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan api berjaya dikawal jam 10.26 pagi.

“Turut berada di lokasi adalah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejadian memusnahkan sebuah bengkel, rumah pekerja dan rumah sarang burung walit.

Anggota bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran. – Foto/MAHA

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X