KOTA KINABALU: Seperti dijangka, perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Likas, di sini, Rabu ini, ‘pecah panggung’ apabila tiket bagi menyaksikannya telah habis dijual.
Sabah FC menerusi hantaran di Facebook, semalam, menyatakan, kesemua tiket termasuk tiket fizikal telah habis, walaupun aksi dua pasukan itu akan berlangsung dua hari lagi.
“‘SOLD OUT’, untuk pengetahuan, tiket perlawanan menentang JDT pada Rabu ini sudah habis dijual, tidak ada tiket fizikal akan dikeluarkan,” kata hantaran itu.
Aksi membabitkan pasukan JDT di Stadium Likas sentiasa mencuri tumpuan para peminat bola sepak di negeri ini.
Mengikut rekod pertemuan kedua-dua pasukan, JDT dilihat agak liat untuk ditewaskan Sabah FC, walaupun mereka beraksi di gelanggang sendiri.
Kedua-dua pasukan itu bertembung empat kali pada musim lalu dengan kesemuanya dimenangi JDT.
Pada pusingan pertama Liga Super musim ini juga, JDT mudah menewaskan Sabah FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di Johor.
JDT pada musim ini dilihat terus mendominasi Liga Super apabila berada di kedudukan teratas liga dengan 69 mata selepas memenangi kesemua 18 aksi diharungi setakat ini.
Sabah FC pula kini berada di kedudukan kelima liga selepas mengutip 43 mata hasil daripada 11 kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan. – Info X
FOTO – Facebook Sabah FC